RSS

>Jujurlah kamu…

19 Nov

>




Sifat Jujur Merupakan Jalan Menuju ke Syurga.

Hidup kita didunia ini akan dipersoalkan oleh Allah s.w.t, dari amalan yang sekecil-kecilnya misalnya membuang sampah di tengah jalan, hinggalah yang sebesar-besarnya iaitu berusaha menegakkan Daulah Islamiyyah. Semuanya tidak akan terlepas dari perhitungan Allah s.w.t. di hari akhirat nanti. Kejujuran adalah sifat peribadi yang paling utama yang akan dipersoalkan nanti. Dimaksudkan kejujuran disini adalah jujur pada diri sendiri, jujur pada manusia dan jujur pada Allah s.w.t. Orang yang bertakwa kepada Allah s.w.t. sentiasa menghiasi dirinya dengan sifat jujur.

Jujur pada diri sendiri adalah bermaksud seseorang bersikap amanah dan ikhlas dalam melaksanakan segala amal soleh dan amal kebaikan, tidak berbohong dan berdusta dan sentiasa merasai bahawa Allah s.w.t. memerhatikan segala amalan-amalannya secara terang-terang atau yang tersembunyi.

Jujur pada manusia adalah bermaksud melaksanakan tugas dan amanah untuk membaiki akhlak dan kehidupan manusia mengikut acuan Allah s.w.t. iaitu melaksanakan amal ma’aruf dan nahi mungkar.

Jujur pada Allah s.w.t. adalah bermaksud memperhambakan diri sepenuhnya kepada Allah s.w.t dan tidak menyekutukannya dengan yang lain. Melaksanakan semua yang diperintahkan-Nya dan meninggalkan semua yang dilarangan-Nya.

Diriwayatkan dari Rasulullah s.a.w baginda ditanya , “Dengan amal apakah meraih (mendapatkan) Syurga itu?” Baginda menjawab, “Dengan kejujuran, kerana kejujuran seorang hamba adalah kebaikan. Jika ia berbuat kebaikan, maka ia akan beriman, jika ia beriman, maka ia akan masuk Syurga.”

Nabi s.a.w juga pernah ditanya, amalan apa yang membuat pelakunya masuk Neraka?
Baginda menjawab, “Dusta, jika seorang hamba berdusta, maka ia akan menjadi durhaka. Jika ia durhaka, maka ia akan menghantarkannya menjadi kafir. Jika ia kafir, maka dia akan masuk Neraka.”

Sahabat yang dimuliakan,
Setiap individu Muslim sangat dituntut agar memperhiaskan hati dengan sifat jujur atau benar dalam semua perkara. Kejujuran adalah sifat terpuji Nabi dan akan membawa ke arah kebaikan serta keselamatan hidup di dunia dan akhirat yang kekal abadi.

Mengenai perkara ini Rasulullah SAW bersabda bermaksud:
“Sesungguhnya sifat benar (jujur) itu membawa kepada kebaikan dan kebaikan ini membawa ke Syurga dan seseorang itu akan terus bersifat benar sehinggalah beliau ditulis di sisi Allah sebagai orang yang bersifat benar…”
(Hadis Riwayat Bukhari)

Memandangkan sifat ini sangat penting dan ada hubung kait dengan keimanan, maka tidak wajar sama sekali seorang Muslim mengabaikannya begitu saja atau menganggap sebagai remeh. Sesungguhnya memiliki sifat jujur adalah satu kewajipan setiap orang yang beriman.

Firman Allah yang maksudnya :
“Hai orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, dan hendaklah kamu bersama orang yang benar.”
(Surah At-Taubah ayat 119)

Pada masa kini, ternyata amat sukar mencari orang yang jujur dan dipercayai dalam masyarakat. Ramai yang lalai dan terpengaruh dengan bisikan syaitan, hawa nafsu dan tidak dinafikan ada juga disebabkan kejahilan.

Sehingga ada yang tergamak untuk terbabit dengan rasuah, menghalalkan cara, pecah amanah, menabur fitnah dan berdusta demi mencapai hasrat kepentingan peribadi. Keadaan buruk ini sangat membimbangkan dan pasti menjadi lebih parah sekiranya tidak ada usaha memberi penyuluhan dan kesedaran kepada mereka dengan pelbagai saluran.

Sahabat yang dimuliakan,
Kita sangat percaya masih ramai yang keliru bahkan tidak tahu mengenai maksud jujur yang sebenar-benarnya mengikut pandangan Islam.

Ulama mendefinisikan jujur itu sebagai kesesuaian perkataan dan perbuatan yang dizahirkan mengikut gerak batinnya selama tidak tergelincir daripada landasan syariat.

Orang yang jujur akan sentiasa memastikan setiap tindakan, percakapan, kelakuan dan sebagainya menepati ajaran Islam.

Orang yang jujur sangat benci kepada segala jenis perbuatan ingkar yang mengundang dosa dan kemurkaan Allah.

Kalaupun terlanjur melakukan maksiat, akan segera bertaubat kepada-Nya dengan penyesalan serta dengan rasa takut akan azab Allah. Dia selalu sedar bahawa dirinya sedang diperhatikan oleh Allah s.w.t.

Lantaran itu, orang yang jujur tidak mungkin mengerjakan sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam walau saat keseorangan dan tersembunyi.

Imam Al-Ghazali menyenaraikan jenis kejujuran yang perlu diamalkan oleh setiap orang Islam yang benar-benar merindui keredaan-Nya iaitu:

Jujur lisan atau perkataan sebagai contoh menepati janji dan sumpah, menjauhi sifat bohong dan menipu;

Jujur niat dan kehendak iaitu tercetus keinginan untuk beramal penuh ikhlas semata-mata kerana Allah s.w.t.

Jujur keazaman dalam melaksanakan sesuatu kerana Allah (yang mana lahirnya semangat untuk melakukan amalan, semangat itu juga lahir kerana Allah);

Jujur dalam melaksanakan apa yang diazamkan (melakukannya dengan istiqamah dan tidak takut sebarang celaan yang datang, kerana dia melakukannya kerana Allah);

Jujur dalam beramal itu sendiri, di mana tidak melakukan amalan zahir yang bercanggah dengan apa yang ada dalam batin (tidak berpura-pura atau hipokrit), dan

Jujur dalam setiap maqam agama seperti khauf, zuhud, reda, tawakal dan lain-lain.

Semuanya itu terangkum dalam firman Allah yang bermaksud:
“Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan solat serta mengeluarkan zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar”
(Surah Al-Bayyinah ayat 5).

Orang yang jujur dan benar, sudah tentu akan mendapat keredaan Allah manakala di sisi masyarakat mendapat sanjungan dan dihormati, dapat membentuk manusia yang saling percaya mempercayai dan berkasih sayang.

Akhirkata marilah sama-sama kita menjadikan sifat jujur ini sebagai amalan dan pakaian hidup kita, tidak akan lahir dari hati, lidah dan perbuatan kita melaiankan kejujuran belaka iaitu jujur kerana Allah s.w.t.

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud :
“Tinggalkanlah hal yang membimbangkan kalian menuju sesuatu yang tidak membimbangkan, sesungguhnya kejujuran adalah ketenangan, dan pembohongan adalah kebimbangan”
(Hadis Riwayat Tarmizi)

Iklan
 
Tinggalkan komentar

Ditulis oleh pada November 19, 2010 in Amar ma'ruf

 

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

 
%d blogger menyukai ini: